PENGENALAN
Rancangan Struktur (RS) adalah satu pernyataan bertulis yang menerangkan dasar dan cadangan am Pihak Berkuasa Negeri (PBN) berkenaan pemajuan dan penggunaan tanah sesebuah negeri. Ini termasuklah memperelokkan perhubungan, menguruskan lalu lintas, mempertingkatkan kesejahteraan sosioekonomi, menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan memudahkan pemajuan mampan disediakan. Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2045 (RSNS 2045) ini merupakan kajian semula Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2001-2020 yang disediakan berdasarkan kepada:
- Keperluan peruntukan Seksyen 11, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).
- Terdapat perubahan corak guna tanah dan perancangan fizikal yang perlu diselaraskan dengan dasar dan strategi terkini.
- Menyelaraskan dokumen Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2045 agar selari dengan dasar, pelan induk pembangunan, garis panduan dan piawaian perancangan terkini.
- Merancang secara mampan berdasarkan potensi sebenar mengikut daerah agar sesuai dengan perubahan guna tanah dan senario pembangunan semasa.
- Meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan melalui peluang pekerjaan, kemudahan dan infrastruktur.
- Sebagai panduan perancangan 30 tahun Negeri Sembilan bagi memandu hala tuju pembangunan di peringkat negeri dan daerah.
LATAR BELAKANG NEGERI SEMBILAN
Negeri Sembilan terletak di selatan Lembah Klang dan bersempadan dengan Negeri Selangor, Pahang, Johor dan Melaka. Keluasan Negeri Sembilan adalah 665,635.85 hektar (6,656.35 km2) yang meliputi 7 daerah iaitu Daerah Seremban, Port Dickson, Jempol, Tampin, Kuala Pilah, Rembau dan Jelebu.
KELUASAN DAN JUMLAH PENDUDUK DI NEGERI SEMBILAN
DAERAH | KELUASAN (HEKTAR) | PENDUDUK 2010 |
SEREMBAN | 95,360.71 | 536,147 |
PORT DICKSON | 58,065.21 | 110,991 |
JEMPOL | 148,458.42 | 112,740 |
TAMPIN | 85,137.45 | 82,165 |
KUALA PILAH | 102,667.00 | 63,874 |
REMBAU | 40,592.79 | 41,988 |
JELEBU | 135,354.27 | 38,299 |
NEGERI SEMBILAN | 665,635.85 | 986,204 |
ARAH TUJU PEMBANGUNAN NEGERI SEMBILAN
Dalam memacu pembangunan moden Negeri Sembilan menjelang tahun 2045, matlamat pembangunan yang ditetapkan adalah “Negeri Sembilan 2045 sejahtera, inklusif dan mampan”. Matlamat ini bersesuaian untuk menjadikan Negeri Sembilan sebagai sebuah negeri yang mempunyai perancangan guna tanah, kecekapan perkhidmatan sosial, taraf sivik penduduk, kemudahan masyarakat, infrastruktur dan utiliti yang berkualiti dan setaraf dengan perletakannya yang bersebelahan dengan Konurbasi Kuala Lumpur.
KONSEP PEMBANGUNAN INTERGRASI NEGERI SEMBILAN
Konsep Pembangunan Integrasi Negeri Sembilan terbahagi kepada 3 konsep iaitu:-
i. Konsep Pembangunan MVV
MVV yang diinspirasikan oleh Kerajaan Negeri Sembilan adalah rancangan komprehensif jangka masa panjang yang melibatkan Daerah Seremban dan Port Dickson. MVV adalah kesinambungan kepada Greater KL dan akan menjadi pemangkin pembangunan di Negeri Sembilan dan merupakan salah satu Agenda Transformasi Negara yang menggunapakai pendekatan ‘public-private partnership’.
ii.Konsep Pembangunan Agropolis
Agropolis adalah satu konsep pembangunan yang menerapkan elemen perbandaran ke sebuah petempatan desa dan dibangunkan sebagai bandar pertanian. Agropolis juga merupakan sebuah kawasan pengeluaran pertanian yang menggunakan teknologi bagi meningkatkan hasil tanaman dan boleh dibangunkan di kawasan yang mempunyai keluasan terhad. Daerah yang berpotensi dibangunkan sebagai Agropolis ialah Daerah Jempol, Tampin dan Kuala Pilah.
iii.Konsep Pembangunan Biodiversiti
Kawasan pembangunan biodiversiti melibatkan Daerah Jelebu memainkan peranan penting sebagai elemen kestabilan biodiversiti di Negeri Sembilan dan juga sebagai sumber air utama negeri. Matlamat pembangunan biodiversiti ini adalah pembangunan dan pemeliharaan sumber semula jadi secara mampan. Pembangunan biodiversiti Negeri Sembilan ini bertujuan memperkukuhkan kedudukan kawasan HSK melalui pemeliharaan kawasan hutan dan penanaman semula pokok di kawasan hutan yang telah diterokai.
5 OBJEKTIF UNTUK MENJADIKAN NEGERI SEMBILAN 2045 SEJAHTERA, INKLUSIF DAN MAMPAN
Terdapat 5 objektif untuk menjadikan Negeri Sembilan 2045 Sejahtera, Inklusif Dan Mampan iaitu:-
- Merancang Pembangunan Guna Tanah dan Fizikal Mampan Bagi Menyokong Pencapaian Visi Pemodenan Negeri Sembilan 2045;
- Memperkasakan Ekonomi Berasaskan Sumber Berpotensi Yang Inovatif, Produktif Dan Kompetitif;
- Memelihara Biodiversiti Mampan Sebagai Aset Semula Jadi Negeri Sembilan
- Membangunkan modal insan berkualiti dan berdaya saing; dan
- Memperkukuhkan sistem pengurusan dan pelaksanaan Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2045.
CADANGAN PROJEK BERIMPAK TINGGI
Terdapat 6 projek berimpak tinggi dalam perancangan RSN NS 2045 iaitu:-
- Kenaboi World Biodiversiti Centre;
- Negeri Sembilan Cultural Centre;
- Negeri Sembilan Food Valley;
- International Coastal Sport & Tourism;
- Rembau Halal Hub; dan
- Pembangunan semula Wet World Air Panas, Pedas.