SEREMBAN, 5 DISEMBER 2025 (Korporat SUKNS)
Kerajaan Negeri Sembilan hari ini membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM640 juta yang meliputi perbelanjaan pembangunan sebanyak RM150 juta.
Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun ketika membentangkan belanjawan bertemakan ‘Belanjawan MADANI Rakyat Harmoni’ itu berkata belanjawan 2026 merupakan belanjawan defisit dengan RM30 juta, berbanding anggaran hasil negeri berjumlah RM610 juta.
Pecahan Perbelanjaan Pembangunan (RM150 Juta)
- Sektor Sosial: RM73.86 juta
- Pentadbiran: RM26.98 juta
- Infrastruktur: RM22.39 juta
- Pertanian: RM12.19 juta
- Kerohanian: RM9.88 juta
- Pelancongan: RM4.70 juta
“Belanjawan 2026 akan memberi fokus kepada sembilan bidang tumpuan iaitu kemampanan ekonomi, keterjaminan makanan, pendidikan, pemerkasaan komuniti serta kerohanian dan agama. Bidang tumpuan lain ialah pemerkasaan wanita, belia dan sukan; pelancongan, adat dan budaya; kelestarian alam sekitar serta kebajikan dan kesihatan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sembilan (DUN).
Inisiatif Pendidikan & Infrastruktur
Aminuddin berkata pelbagai inisiatif dan 26 program dirancang supaya anak-anak Negeri Sembilan mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.
“Sebanyak RM28.81 juta diperuntukkan pada 2026 merangkumi 16 inisiatif sedia ada dan satu inisiatif baharu iaitu pembangunan bangunan tambahan Sekolah Menengah Agama Johol.”
Selain itu, sebanyak RM750,000 secara “one-off” diperuntukkan untuk penjagaan dan penyelenggaraan infrastruktur awam/FELDA seperti jalan, dewan masyarakat, surau, kemudahan air, dan sistem perparitan.
Perumahan & Tahun Melawat NS 2026
Kerajaan negeri bercadang melaksanakan Inisiatif RMM@N9 iaitu Skim Sewa Beli Rumah Mampu Milik Jenis A dengan peruntukan RM5 juta bagi membantu rakyat berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri.
Bagi sektor pelancongan dan sukan:
- SUKMA 2026: RM5 juta diperuntukkan bagi persediaan ke temasya di Selangor.
- PESONA@N9: RM12 juta untuk inisiatif baharu sebagai pemangkin Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.
- Kelestarian Alam: RM1.53 juta untuk pembangunan hutan dan sambutan “World Cleanup Day”.
Prestasi Kewangan Memberangsangkan
Aminuddin memaklumkan bahawa kutipan hasil setakat 5 Disember 2025 telah mengatasi kutipan keseluruhan 2024 sebanyak 111% (RM655.8 juta). Rizab Kumpulan Wang Disatukan juga berada pada kedudukan kukuh iaitu RM897 juta.
“Alhamdulilah. Ini merupakan pencapaian tertinggi dalam sejarah pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan,” katanya.
Pengumuman Khas Penjawat Awam
Bantuan Khas Kewangan (BKK) Maksimum 3 Bulan Gaji
Dibayar secara berperingkat pada Januari dan Mac (Sebelum Aidilfitri). Bayaran tambahan berdasarkan prestasi akan dibuat pada Jun 2026.
— Persidangan DUN Negeri Sembilan berlangsung dari 5 hingga 11 Disember.








Views Today : 61
Views This Month : 378
Views This Year : 15626
Total views : 20735070
Who's Online : 0