
Seremban, 4 Jun 2026 (Korporat SUKNS) – Negeri Sembilan menyasarkan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hampir dua kali ganda kepada RM109.12 bilion menjelang tahun 2040. Sasaran itu dijangka dicapai menerusi pelaksanaan Draf Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2040 merupakan dokumen penting yang akan menjadi kompas pembangunan negeri bagi tempoh 15 tahun akan datang.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun berkata, pertumbuhan ekonomi itu akan dipacu oleh pelbagai projek berimpak tinggi termasuk pembangunan di kawasan Malaysia Vision Valley (MVV) 2.0, Zon Pembangunan Ekonomi Seremban dan Port Dickson serta pembangunan sektor pertanian dan pelancongan di daerah-daerah lain.
“KDNK negeri yang kini berada pada paras RM57.01 bilion dijangka meningkat kepada RM109.12 bilion menjelang tahun 2040 selaras dengan pertumbuhan pelaburan dan pembangunan yang dirancang.
“Pertumbuhan ini didorong oleh pelbagai projek berimpak tinggi khususnya di Zon Pembangunan Ekonomi Seremban dan Port Dickson dalam kawasan MVV 2.0 yang menjadi pemangkin utama kepada pembangunan industri, pelaburan dan penggunaan tanah secara strategik.
“Malah, jumlah projek pelaburan dijangka meningkat daripada 295 projek pada tahun 2025 kepada 2,405 projek menjelang tahun 2040,” katanya ketika merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2040 di sini, hari ini.
Menurutnya, Negeri Sembilan turut mempunyai kelebihan besar untuk terus berkembang apabila kadar tepu bina negeri masih rendah iaitu sekitar 12.55 peratus.
Ini sekali gus menyediakan ruang luas bagi pembangunan bandar baharu, kawasan perindustrian dan perumahan.
“Pembangunan masa depan negeri tidak boleh hanya berasaskan pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Nilai sebenar kejayaan bukanlah sekadar angka pelaburan atau hasil negeri, tetapi peluang pekerjaan yang diwujudkan untuk anak-anak Negeri Sembilan, peluang perniagaan kepada usahawan tempatan serta peningkatan pendapatan isi rumah rakyat,” katanya.
Dalam masa sama, Aminuddin menyeru rakyat supaya mengambil peluang menyertai sesi publisiti awam bagi memberikan pandangan terhadap draf berkenaan. Rakyat Negeri Sembilan untuk mengambil peluang meneliti Draf Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2040 dan mengemukakan pandangan serta cadangan yang membina. Masa depan negeri ini bukan milik kerajaan semata-mata, tetapi milik seluruh rakyat Negeri Sembilan.
“Masa depan Negeri Sembilan bukan milik kerajaan semata-mata. Masa depan negeri ini adalah milik seluruh rakyat.
“Sebab itu suara rakyat perlu didengari dan aspirasi rakyat perlu diterjemahkan ke dalam perancangan pembangunan negeri,” katanya.
Sementara itu, draf rancangan ini merupakan hala tuju yang akan menentukan corak pembangunan ekonomi, sosial, infrastruktur, perumahan, pengangkutan serta kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan. Pembangunan negeri perlu digerakkan secara lebih pintar, inklusif, mampan dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran masa hadapan termasuk perubahan iklim, perkembangan teknologi, ekonomi digital serta pertumbuhan penduduk yang semakin meningkat.
PORATL RASMI KERAJAAN NEGERI SEMBILAN
4 JUN 2026







Views Today : 61
Views This Month : 378
Views This Year : 15626
Total views : 20735070
Who's Online : 0