JATA NEGERI

Soalan Lazim

F&N di landasan siapkan ladang tenusu di Gemas awal 2025

WhatsApp Image 2023 06 15 at 13.51.33 1722581044 (1)

KUALA LUMPUR: Fraser and Neave Holdings Bhd (F&N) berada di landasan bagi menyiapkan fasa satu ladang tenusu kumpulan di Gemas, Negeri Sembilan menjelang awal 2025 apabila pemerahan susu pertama dijangka bermula, demikian menurut MIDF Research.

“Kami menyukai inisiatif kumpulan dalam ladang tenusu bersepadu ini untuk meningkatkan bekalan kendiri dan menampung pasaran susu segar yang kurang diberikan perkhidmatan di Malaysia,” katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

Firma penyelidikan pasaran itu berkata, ia optimis terhadap prospek F&N bagi tahun kewangan 2024, disokong oleh momentum jualan perayaan daripada separuh pertam, walaupun terdapat ketidakpastian geopolitik yang mempengaruhi eksport serta kedudukan ekonomi Thailand yang lebih lemah.

Katanya, F&N berada dalam kedudukan untuk memanfaatkan peningkatan dalam penggunaan minuman luar rumah, kos bahan mentah yang lebih rendah dan faedah daripada perubahan dalam pilihan pengguna Malaysia ke arah jenama tempatan di tengah sentimen geopolitik.

“Pendapatan kumpulan untuk sembilan bulan tahun kewangan 2024 meningkat sebanyak 6.2 peratus tahun ke tahun kepada RM3.99 bilion, terutamanya disokong oleh sumbangan positif dari F&B Thailand dan F&B Malaysia” katanya.

F&N mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi berjumlah RM121.63 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Jun 2024 berbanding RM99.37 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2023.

Bagaimanapun, perolehan susut kepada RM1.30 bilion daripada RM1.33 bilion sebelumnya, berikutan ketidaktentuan geopolitik yang menjejaskan eksport daripada makanan dan minuman (F&B) Malaysia, serta kemerosotan baht Thailand.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia F&N berkata, bagi sembilan bulan terkumpul untuk tahun kewangan 2024, keuntungan bersih kumpulan meningkat kepada RM457.78 juta berbanding RM399.342 juta tahun lalu.

Perolehan pula menokok kepada RM3.99 bilion daripada RM3.76 bilion sebelumnya.

Sementara itu, MIDF Research berkata satu peristiwa penting dalam suku ketiga tahun kewangan 2024 adalah tamatnya tempoh insentif Lembaga Pelaburan (BOI) untuk F&B di Thailand.

“Insentif BOI adalah pengurangan cukai sebanyak 50 peratus di mana dengan perbelanjaan cukai yang lebih tinggi, kami menyemak unjuran pendapatan untuk tahun kewangan 2024 sehingga 2026,” katanya.

Walau bagaimanapun, MIDF Research berkata ini telah diimbangi sedikit oleh risiko eksport dan permintaan yang lebih lemah disebabkan oleh sekatan di Laut Merah dan kenaikan kos penghantaran.

Ia berkata, margin keuntungan operasi meningkat sebanyak 2.1 mata peratusan tahun ke tahun kepada 14.8 peratus berikutan pendapatan yang lebih tinggi, walaupun terdapat kos input yang lebih tinggi untuk beberapa komoditi utama seperti gula, serbuk koko, beras dan gelatina.

“Secara suku tahunan, pendapatan suku ketiga tahun kewangan 2024 merosot sebanyak 2.1 peratus tahun ke tahun kepada RM1.3 bilion, manakala keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (PATANCI) jatuh sebanyak 9.1 peratus tahun ke tahun kepada RM121.7 juta.

“Ini disebabkan oleh ketidakpastian geopolitik yang mempengaruhi eksport dari F&B Malaysia dan penukaran mata wang yang tidak menguntungkan akibat kelemahan baht Thailand,” katanya.

Oleh Nur Amira Mohd Hedzer – Ogos 2, 2024 @ 2:44pm

Skip to content