JATA NEGERI

Soalan Lazim

Aminuddin Harun angkat sumpah MB Negeri Sembilan untuk penggal kedua

Majlis Perlantikan MBNS

KUALA PILAH: Teki-teki mengenai siapa Menteri Besar Negeri Sembilan berakhir apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, Datuk Seri Aminuddin Harun, mengangkat sumpah memperbaharui jawatan itu hari ini.

Aminuddin, 52, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar untuk penggal kedua di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balai Mengadap Besar, Istana Besar Seri Menanti, di sini, jam 4.15 petang tadi.

Beliau dilantik semula selepas gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) memenangi 31 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu.

Daripada 31 kerusi dimenangi itu, PH menguasai 17 kerusi, manakala BN 14 kerusi.

Aminuddin sebelum dilantik Menteri Besar Negeri Sembilan selepas PH menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

Pada PRN kali ini, Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) mempertahankan kerusi DUN Sikamat yang disandangnya.

Beliau menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Ahmad Raihan Muhamad Hilal dan dua calon Bebas, Bujang Abu serta Mohammed Hafiz Baharudin dengan majoriti 2,662 undi.

Pada PRU15 November lalu, Aminuddin yang bertanding kerusi Parlimen Port Dickson turut memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 23,601 undi.

Dilahirkan pada 2 Januari 1967 di Kampung Pachitan, Port Dickson, Aminuddin pernah bertugas sebagai pegawai penyiasat Badan Pencegah Rasuah antara 1991 hingga 1995.

Pada 1995, beliau menyertai syarikat Golden Hope Furniture Sdn Bhd sebagai ketua pengurusan pengeluaran dan kemudian di MCIS Safety Glass (M) Sdn Bhd sebagai Eksekutif Senior antara 1996 hingga 2008 sebagai ketua bahagian jualan, jawatankuasa pengurusan, panel siasatan dalaman dan juruaudit.

Sebelum menyertai PKR pada 1999, Aminuddin pernah menjadi Setiausaha UMNO Cawangan Kampung Pachitan (1995-1998) serta Setiausaha Pemuda UMNO DUN Jimah (1997-1998).

Aminuddin selaku penyandang DUN Sikamat sejak 2008 menganggotai Majlis Pimpinan Pusat PKR sejak 2014 serta turut aktif dalam badan bukan kerajaan seperti Persatuan Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Beliau yang berkelulusan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) mendirikan rumah tangga dengan Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof dan dikurniakan lima anak.

 

Petikan dari BH Online

Oleh Mohd Amin Jalil – Ogos 14, 2023 @ 5:39pm
bhnews@bh.com.my

Skip to content