Seremban: Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) dua bulan gaji kepada 6,613 orang penjawat awam di negeri itu.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata bantuan itu sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada penjawat awam negeri itu, yang sentiasa komited dalam melaksanakan tugas diamanahkan.
Beliau berkata, bantuan itu akan dibayar sebanyak dua kali iaitu pada Januari dan sebelum Aidilfitri pada Mac 2025.
“Diharapkan bantuan khas kewangan ini dapat menyuntik semangat semua penjawat awam untuk bekerja dengan lebih gigih lagi,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan Ke-15, hari ini.
Aminuddin turut merakamkan penghargaan kepada semua Pejabat pemungut hasil yang melaksanakan tugas dengan penuh integriti, dedikasi dan cemerlang.
Beliau berkata, ia membolehkan kedudukan rizab kerajaan negeri berada pada satu kedudukan yang kukuh iaitu RM726 juta sehingga 21 November.
“Kutipan hasil sehingga tarikh yang sama juga telah mencapai RM505 juta atau 97 peratus.
“Berdasarkan unjuran semasa, kita amat optimis, kutipan hasil negeri berjaya mengatasi kutipan hasil tahun 2023, malah berkemungkinan mencipta rekod kutipan hasil tertinggi dalam sejarah pentadbiran negeri,” katanya.