Bagi menjayakan kempen itu, sebanyak 310 buah kenderaan dan jentera syarikat itu dipasang dengan Jalur Gemilang.

Selain itu, sebanyak 200 helai Jalur Gemilang turut dipasang di sekitar kawasan pejabat syarikat itu di sini mulai hari ini.

Kempen tersebut telah dirasmikan hari ini oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong.

Menurut Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat, SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin, kempen itu diharap dapat menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan warga kerja syarikat itu dengan menghiasi persekitaran tempat kerja dengan bendera kebangsaan.

"Bertepatan dengan tema pada tahun ini Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih, pihak syarikat

sentiasa proaktif dalam mengusahakan kempen kesedaran awam pengurusan sisa pepejal yang berhemah.

"Kami juga sentiasa berganding bahu bersama kerajaan Pusat dan juga negeri dalam usaha mendidik orang ramai mengamalkan amalan kitar semula di peringkat negeri wilayah selatan di samping mengurangkan janaan sisa pepejal ke tapak pelupusan," katanya.

Yang turut hadir, Pengurus SWM Environment Wilayah Melaka dan Negeri Sembilan, Al'ashari Othman.

Sempena majlis pelancaran pada hari ini, SWM Environment turut melaksanakan pelancaran pelepasan kenderaan dan jentera miliknya iaitu lori kompaktor, Ultra Whack Vacuum Cleaner, Water Jet, lori terbuka dan side-car sebagai simbol sambutan bulan kemerdekaan yang bakal tiba. - UTUSAN ONLINE