HQ010719AA013 1562073675

TINJAUAN BH di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya, mendapati kawasan perindustrian terlalu hampir dengan kawasan perumahan. - Foto Aizuddin Saad

 

KUALA LUMPUR: Garis panduan ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi menentukan zon penampan yang selamat di antara zon perindustrian dan perumahan wajar dikaji semula bagi mengurangkan risiko apabila berlaku pencemaran.

Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Kimia, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Ir Dr Zulkifli Abdul Rashid, berkata pengkelasan zon penampan JAS tidak begitu releven pada masa ini apabila kurang memberi penekanan aspek keselamatan terutama apabila membabitkan industri berat.

Katanya, industri berat merangkumi kilang yang operasinya terbabit dengan bahan kimia berbahaya mengikut kelas tertentu seperti mudah terbakar, meletup dan bertoksik.

“Ketika ini radius yang ditetapkan bagi industi berat tidak lebih 500 meter daripada kawasan penempatan. Bagi saya, jarak yang ideal adalah antara satu hingga dua kilometer daripada kawasan penempatan awam atau aktiviti manusia.

“Justeru, garis panduan bagi pengkelasan zon penampan yang selamat bagi kawasan perindustrian dan perumahan wajar ditambah baik untuk mengurangkan risiko keracunan bila berlaku pencemaran,” katanya kepada BH, semalam.

Dlam laporan eksklusif BH semalam mendedahkan sekurang-kurangnya 20 zon perindustrian diibarat menjadi ‘bom jangka’ yang mendedahkan penduduk kepada pencemaran, termasuk pelepasan gas beracun.

Mengikut peraturan JAS, terdapat tiga kategori pengkelasan industri iaitu industri ringan, sederhana dan berat.

Jarak selamat di antara satu kawasan penempatan dengan kawasan industri atau zon penampan adalah 50 meter bagi industri ringan dengan jaluran tanaman selebar 10 meter; 250 meter bagi industri sederhana dengan jaluran tanaman 20 meter dan 500 meter bagi industri berat dengan jaluran tanaman 30 meter.

 

 7 4 2019 8 10 48 AM

 Dr Zulkfili turut berkata, bagi mengurangkan lagi risiko kewujudan zon industri beracun, kerajaan perlu mensyarat atau menggalakkan syarikat industri menggunakan teknologi yang mesra alam, berasaskan teknologi hijau dan bersifat lestari iaitu kurang menyebabkan pencemaran.

Pendapat sama dikongsi Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan JAS perlu mengkaji semula jarak 500 meter bagi zon penampan industri berat.

Katanya, PBT dan JAS perlu menilai lokasi kilang industri berat yang berisiko tinggi dengan zon penampan dan kawasan penempatan.

“Jika industri berat terbabit terlalu berisiko, mungkin jarak zon penampan perlu lebih jauh lagi atau dipindahkan jauh daripada kawasan penempatan,” katanya.

Namun katanya, aspek paling penting dalam mengurangkan risiko pencemaran adalah memastikan penguatkuasaan dilaksanakan dengan tegas.

“Ini disusuli dengan meningkatkan pemantauan secara berterusan dan bukan menunggu sehingga bencana berlaku atau selepas menerima aduan daripada orang ramai, barulah hendak bertindak.

“Kerajaan negeri juga perlu bertegas dalam isu ini termasuk mewujudkan jawatankuasa khas mengkaji kelemahan garis panduan serta peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohammad Mujaheed Hassan, pula berkata, perancangan secara sistematik amat perlu bagi menentukan pecahan kawasan industri, zon penampan dan kawasan penempatan di peringkat awal.

 PG300619MC017 1562073679

Katanya, PBT, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) dan JAS sepatutnya memikirkan secara sistematik bagaimana sesuatu kawasan itu patut dibangunkan secara lestari.

“Soalnya, kenapa di peringkat awal lagi JPBD negeri membuat zon kawasan perumahan bersebelahan dengan perindustrian? Jika sudah tahu hendak khaskan kawasan tanah yang luas untuk zon perindustrian, mengapa masih perlu letak zon perumahan di situ?

“Adakah PBT terlalu rakus hendak mengejar pembangunan sampai tidak meneliti secara lestari pembangunan di situ? Namun dalam isu ini, tidak boleh menyalahkan satu pihak saja.

“Sebabnya, ketika pelan merancang pembangunan dikemukakan, banyak jabatan dan agensi terbabit memberi pandangan dan kelulusan sebulat suara dibuat sebelum pelan dilulus atau diwartakan,” katanya.

Kerajaan negeri komited kekang penceraman

Beberapa kerajaan negeri menyatakan komitmen untuk mengekang pencemaran dengan memastikan setiap pembangunan kawasan industri mematuhi garis panduan zon penampan yang ditetapkan.

Malah, ada kerajaan negeri bersedia mengambil tindakan tegas menghentikan operasi atau memindahkan kilang yang dikesan membuang sisa toksik.

Di Georgetown, Kerajaan Pulau Pinang sentiasa memastikan setiap zon industri mematuhi garis panduan zon penampan yang ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

EXCO Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang negeri, Phee Boon Poh, berkata semua kawasan industri perlu mengikuti syarat pembahagian zon pembangunan yang melebihi jarak 500 meter dengan penempatan penduduk.

 HQ201907HQ1799 1562073687

KAWASAN perindustrian yang berhampiran dengan penempatan di Klang. - Foto Syarafiq Abd Samad

“Ketika ini, kerajaan Pulau Pinang melaksanakan zon penampan mengikut kelas aktiviti perindustrian berdasarkan 'Guidelines for Sitting and Zoning of Industries' yang dikeluarkan oleh JAS,” katanya.

Di Seremban, setiap kilang di Negeri Sembilan disyaratkan menjalankan operasi sekurang-kurangnya 500 meter dari kawasan perumahan supaya tidak mendatangkan risiko kesihatan kepada penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata semua kilang sentiasa diingatkan mematuhi peraturan alam sekitar atau berdepan tindakan tegas.

"Kita boleh mengambil tindakan termasuk menghentikan operasi kilang mengikut Seksyen 38 Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 manakala pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh arahkan mereka berpindah ke lokasi lain.

"Di Negeri Sembilan, terdapat 2,556 premis kilang yang beroperasi dan 1,069 daripadanya menghasilkan sisa buangan yang akan dilupuskan secara berjadual di Tapak Pelupusan Bukit Nanas,” katanya.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Seremban (MPS) bertindak secara proaktif membentuk kerjasama dengan agensi lain, untuk memastikan tiada isu berkaitan pencemaran udara berlaku di daerah itu.

Yang Dipertuanya, Datuk Zazali Salahudin, berkata selain memantau di semua kilang industri yang beroperasi dalam kawasan PBT itu, pihaknya turut bekerjasama dengan JAS, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

DI Johor Bahru, Kerajaan Johor akan melaksanakan kajian terperinci dan penstrukturan baharu zon penampan kawasan perindustrian dengan penempatan penduduk di Pasir Gudang.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan,Komunikasi dan Multimedia Johor, Dzulkefly Ahmad, berkata zon penampan sedia ada memang sudah ditetapkan mengikut kategori industri yang dibangunkan, namun perkara itu perlu diteliti semua membabitkan kawasan Pasir Gudang.

Katanya, bagi mewujudkan zon penampan industri yang lebih jauh jaraknya dengan penempatan penduduk khususnya di Pasir Gudang tidak boleh diputuskan dengan terburu-buru, sebaliknya memerlukan kajian dan penstrukturan semula.

"Walaupun kes di Taman Mawar yang terletak kira-kira enam kilometer dari Sungai Kim Kim tidak besar dan punca sebenar belum diketahui,namun langkah berjaga-jaga perlu diambil.

"Sudah sampai masanya kerajaan Johor mengambil tindakan holistik dan menyeluruh untuk pastikan Pasir Gudang selamat didiami,” katanya. Di SHAH ALAM; Pemantauan secara bersepadu dengan agensi lain menjadi amalan dalam mengurangkan isu pencemaran kilang di Selangor.

Pengarah JAS negeri, Shafe'ee Yasin, berkata pihaknya mengambil tindakan proaktif dengan mengenal pasti punca yang berpotensi membawa pencemaran.

“Pemantauan ketat dilakukan untuk mengurangkan sehingga serendah mungkin kes membabitkan pencemaran, termasuk bahan kimia,” katanya.

Di Melaka, JAS negeri akan mengenakan tindakan terhadap pemilik tanah di Pengkalan, Machap Jaya yang menjadikan kawasan itu sebagai tapak pelupusan dan pembakaran sampah terbuka.

Pengarahnya, Ramli Osman, berkata tindakan kompaun dikenakan ke atas pemilik tanah mengikut Seksyen 29A, selain notis arahan dikeluarkan mengikut Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

"Kita menerima aduan pembakaran terbuka berlaku di hutan berhampiran Taman Lesung Batu Jaya membabitkan sisa buangan daripada tayar, plastik, dan kayu pallet,” katanya.

Di Kota Kinabalu, Sabah tidak berdepan isu pencemaran serius yang dikaitkan dengan aktiviti perindustrian atau pembuangan sisa berjadual yang tidak mengikut peraturan.

Ketua Unit Aduan dan Perhubungan Awam JAS negeri, Roslina Diwa, berkata setakat ini kebanyakan kes yang dilaporkan lebih kepada masalah pencemaran biasa seperti asap hitam, habuk dan pembuangan minyak hitam.