Menteri Air, Tanah dan Sumber, Dr. A. Xavier Jayakumar berkata, jarak keseluruhan jajaran sempadan darat di antara Melaka dan Negeri Sembilan adalah sepanjang 89.1 kilometer (km).

Beliau berkata, Melaka dan Negeri Sembilan komited untuk memastikan pemeteraian Perjanjian Sempadan yang dapat menyelesaikan sebarang isu kepentingan bersama.

“Jarak keseluruhan jajaran sempadan darat antara Melaka dan Negeri Sembilan adalah sejauh 89.2 km yang bermula dari Lubok Kedondong ke Muara Sungai Linggi.

“Kerja-kerja penandaan dan pengukuran telah dilaksanakan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) bermula 2 Februari hingga 26 Disember 2015 dengan kos sebanyak RM850,000,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Terdahulu Xavier Jayakumar menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Sempadan yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Menurut Xavier Jayakumar, kedua-dua negeri seterusnya akan memulakan rundingan penentuan sempadan maritim antara negeri hingga ke had tiga batu nautika dengan tumpuan kepada garisan sempadan maritim.

Selain itu katanya, penyelesaian sempadan di antara negeri-negeri sangat dititikberatkan bagi membolehkan kerajaan negeri mentadbir dan melaksanakan pembangunan di sekitar sempadan secara teratur dan terancang.

“Aktiviti kawalan dan pemantauan daripada pencerobohan dan penerokaan tanah-tanah kerajaan secara haram serta penguatkuasaan di kawasan persempadanan juga dapat dipermudahkan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, sehingga kini, enam sektor sempadan telah dimuktamadkan serta dua sektor telah siap ditanda dan diukur serta dalam peringkat memuktamadkan perjanjian sempadan.

“Dua sektor sedang dalam tindakan penandaan dan pengukuran dan sembilan sektor lagi masih dalam proses rundingan di antara negeri-negeri yang terlibat sebelum kerja penandaan dan pengukuran dijalankan,” katanya. - UTUSAN ONLINE