SERI MENANTI, 14 JAN – Seramai 693 penerima telah dikurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sembilan sempena Hari Keputeraan Ke-70 Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, hari ini.

LEO 2849 1

Seramai 144 penerima telah dikurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat bagi hari pertama selepas berlangsungnya Istiadat Kawalan Kehormat pada sebelah pagi di Padang Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.

Istiadat pengurniaan telah disempurnakan oleh DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir diiringi DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan dan isteri, YM Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumudin turut hadir dalam majlis itu.

Mendahului senarai penerima, anakanda Tuanku Muhriz, YAM Tunku Zain Al’Abidin dianugerahkan Darjah Seri Setia Tuanku Muhriz Yang Amat Terbilang (SSTM) yang membawa gelaran Dato’ Seri.

Antara lain, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Dr Haji Awaludin Said dan Aktivis Keamanan Dunia, Dato’ Dr Ronald Stephen Mccoy menerima Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) yang turut membawa gelaran Dato’ Seri.

LEO 2805

Tuanku Muhriz dalam titah ucapannya menyeru agar dasar-dasar yang mensejahterakan rakyat dapat diteruskan dan dipertingkatkan serta diwujudkan dasar-dasar baharu demi kemaslahatan masyarakat secara keseluruhan.

Baginda juga menyeru agar setiap rakyat menghormati amalan agama serta budaya yang dianuti oleh setiap kaum dan golongan muda yang ada pada hari ini perlu didikan dengan pengetahuan moral yang baik agar mereka sentiasa dipupuk untuk hormat-menghormati dan hidup bersatu padu.

Dalam pada itu, Menteri Besar di dalam sembah ucapan taat setia menasihatkan para penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat agar sentiasa memelihara tingkah laku serta menjadi contoh ikutan kepada semua masyarakat.

Tambahnya, khidmat bakti kepada Raja dan Negara hendaklah sentiasa diteruskan malah dilipat gandakan di masa hadapan.