PORT DICKSON, 24 SEPT – Kira-kira 5,000 pengunjung memeriahkan Ekspresi Negaraku peringkat Negeri Sembilan di Dataran Seri Kemang, Teluk Kemang, hari ini.

IMG 20170924 WA0053

Upacara perasmian program ini telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ketibaan beliau diiringi Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato ‘Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan.

Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Seri Panglima Dr Mohd Salleh Tun Said Keruak; Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Seri Haji Mat Ali Hassan dan Exco Pelancongan, Dato’ Haji Tun Hairudin Abu Bakar.

Ekspresi Negaraku adalah acara yang menyediakan platform untuk mengenengahkan kisah-kisah kejayaan dan sumbangan individu, komuniti dan organisasi yang telah mencipta nama untuk Malaysia.

Pelbagai aktiviti interaktif disediakan dengan matlamat untuk memupuk semangat patriotisme, kebanggaan, kecintaan dan memberi insperasi kepada rakyat.

Timbalan Perdana Menteri dldalam ucapan perasmiannya berkata, Ekspresi Negaraku yang diadakan di Port Dickson memperlihatkan bahawa rakyat Negeri Sembilan berterima kasih kepada pemimpin atas usaha dalam membangunkan negara.

Beliau juga menyeru kepada masyarakat supaya mengenepikan perbezaan demi negara, bangsa dan agama serta bersatu sebagai rakyat Malaysia bagi mencapai kejayaan.

IMG 20170924 WA0054

Dalam pada itu, Menteri Besar Negeri Sembilan dalam ucapan pembukaan berkata, generasi muda seharusnya bersama-sama menyahut, menyambung serta memikul tanggungjawab untuk terus mengisi kemerdekaan 50 tahun yang akan datang.

Jelasnya, TN50 yang digubal oleh kerajaan adalah untuk memastikan anak-anak muda bersama-sama bagi melihat dan meninjau apakah bentuk pembangunan dan negara yang hendak direalisasikan.

Selain itu, Menteri Besar juga menegaskan agar benteng perpaduan yang telah dibina selama ini akan terus diperkasa dan diperkukuhkan.

“Mari kita sama-sama untuk berusaha memupuk perpaduan. Jika tidak ada perpaduan kita tidak akan ke mana dan negara akan kacau bilau, negara akan runtuh dan masyarakat akan berpecah-belah.

“Maka ia mengakibatkan jatuh noktah kenikmatan erti kemerdekaan dan kesejahteraan seperti terjadi di Negara Syria, Iraq, Tunisia serta  beberapa negara lain,” ujarnya mengakhiri.