Sebanyak 38 buah masjid telah dipilih sebagai tuan rumah bagi menjalankan program beri’tikaf yang mana bilangan masjid bagi daerah Seremban sebanyak lapan masjid manakala di daerah-daerah lain, masing-masing sebanyak lima buah masjid.

Selain itu, sebanyak 45 buah sekolah terlibat sebagai peserta iaitu dua Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN), empat Sekolah Menengah Agama Swasta (SMAS), 13 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), tiga Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan 22 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK).

Menteri Besar dalam ucapannya berharap program sebegini dapat mendidik anak-anak serta pelajar-pelajar untuk lebih mendekati diri ke Masjid.

Di samping itu, guru yang terlibat dapat memberi didikan sebaiknya dan sama-sama memperbaiki akidah, ibadah dan juga akhlak masing-masing.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar menegaskan Kerajaan Negeri sedang mengkaji dan meneliti jawatankuasa masjid di peringkat daerah dalam memperkasakan institusi masjid.

Menurutnya, Kerajaan Negeri akan melihat struktur secara mikro supaya masjid mampu untuk menjadi pelaksana kepada dasar-dasar yang hendak dilaksanakan.

“Institusi masjid mesti diperkasakan jika hendak melihat berjaya atau tidaknya dasar-dasar untuk memperkasakan agama Islam. Masjid merupakan institusi masyarakat yang perlu dan mesti bersama dalam melaksanakan dasar yang hendak dibuat,” katanya mengakhiri.