SEREMBAN: Pembangunan Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0) di bahagian barat Negeri Sembilan dijangka menarik pelaburan bernilai RM294 bilion dalam tempoh 30 tahun.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, berkata projek pembangunan metropolis bertaraf dunia yang kompetitif, inklusif dan bersih itu bakal mewujudkan lebih 600,000 peluang pekerjaan menjelang 2045.

Katanya, pembangunan di kawasan Seremban dan Port Dickson seluas 153,411 hektar itu, turut memberi tumpuan kepada pembangunan pemangkin; faedah ekonomi dan sosial serta aspirasi kelestarian alam sekitar.

“Sasaran pelaburan antarabangsa dan tempatan bagi Negeri Sembilan juga ditetapkan sekurang-kurangnya RM1 bilion setahun.

Bagaimanapun, bagi tahun ini jumlah pelaburan di negeri ini sudah mencecah RM2 bilion,” katanya selepas merasmikan MVV 2.0 serta Program Publisiti dan Penyertaan Awam RTMVV 2045 di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan, Dr Rafie Ab Malek dan Pengerusi Sime Darby Property Bhd, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Aminuddin berkata, pelaburan itu dijangka dapat meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri sebanyak tiga sehingga empat peratus setahun.

Sementara itu Aminuddin berkata, pembangunan MVV diberi nafas baharu selari dengan inspirasi kerajaan untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan mempromosi industri berteknologi tinggi, seterusnya dipersetujui untuk dinamakan MVV 2.0.

Katanya, pembangunan MVV 2.0 dipacu sepenuhnya oleh pihak swasta manakala kerajaan akan berperanan sebagai fasilitator atau pemudah cara kepada pelaksanaan.

“Ketika ini Sime Darby Property menerusi syarikat MVV Holdings bersetuju menjadi pemaju untuk melaksanakan projek utama di kawasan MVV.

“Bagaimanapun kerajaan turut mempelawa syarikat swasta lain untuk bekerjasama merealisasikan perancangan MVV 2.0,” katanya.

Beliau berkata, MVV 2.0 memberi tumpuan pembangunan kepada empat pemacu ekonomi iaitu industri berteknologi tinggi; perkhidmatan dan pelancongan; pendidikan dan penyelidikan berasaskan kemahiran serta aktiviti berkaitan hab logistik, penerbangan dan maritim