PAsarSeremban

Teo Kok Seong (tengah) semasa melakukan tinjauan kerja di Pasar Besar Seremban

 

SEREMBAN, 5 Jun 2018 - Kerja baik pulih dan naik taraf tingkat satu Pasar Besar Seremban yang musnah akibat kebakaran pada September tahun lalu dijangka siap sepenuhnya pada Januari depan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong berkata, terdapat beberapa perubahan perlu dilaksanakan bagi menambahbaikkan struktur baharu termasuk membuat bumbung bagi mengelakkan panas hujan serta masalah tahi burung.

“Kerja-kerja baik pulih dan naik taraf ini mengambil masa enam bulan lagi untuk disiapkan kerana struktur beam di tingkat atas tidak selamat lagi digunakan dan perlu diganti lain, demi keselamatan orang ramai serta peniaga. Kita akan bina tempat ini dengan sistem yang lebih selesa, cantik dan teratur berbanding sebelumnya.

“Selain itu kita juga merancang menyediakan lif di pasar ini demi keselesaan orang ramai yang berkunjung, bagaimanapun lokasi untuk memasang lif tersebut masih lagi belum diputuskan,” katanya selepas meninjau perkembangan terkini projek baik pulih Pasar Besar Seremban di sini, semalam.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban (MPS) Datuk Abd Halim Abd Latif, serta barisan Adun Pakatan Harapan.

Kok Seong berkata, kerja baik pulih dan naik taraf tersebut melibatkan kos sebanyak RM12 juta yang akan diperoleh daripada pelbagai kementerian yang berkaitan.

“Sebanyak 306 unit gerai baru akan disediakan dengan merangkumi tiga segmen berbeza antaranya bahagian kedai makanan dan pakaian, jualan basah serta jualan bahan kering seperti buah-buahan, telur dan alat permainan,” katanya.

Dalam pada itu, Abd Halim berkata, Pasar Besar Seremban aka dijadikan sebagai salah satu pusat pelancongan sepertimana yang dilakukan negeri lain seperti di Pasar Siti Khadijah di Kelantan dan Pasar Payang, Terengganu.

“Kita yakin jika pasar ini dinaik taraf dengan baik dan cantik sudah pasti dapat menjadi nilai tambah kepada produk pelancongan,” katanya.

 

Sumber: Sinar Harian 05 Jun 2018 (SARINAH MAT KASIM)