PAROI, 07 APRIL – Kerajaan Negeri Sembilan telah menganjurkan Pasar Waghih Kito, sebuah pasar yang menjalankan aktiviti jualan barangan keperluan harian dengan tawaran harga lebih rendah daripada harga pasaran semasa.

FB IMG 1523078290959

Majlis pelancaran telah disempurnakan Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan di Pasar Komuniti & Karavan (PAKAR), Paroi.

Bercakap di sidang media Menteri Besar berkata, penganjuran pasar ini menjadi salah satu langkah yang diambil oleh kerajaan dalam menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.

Di samping itu, ia juga dapat menangani proses pengambilan keuntungan yang tinggi kerana melalui rantaian orang tengah.

“Kita adakan pusat jualan di mana penternak, petani dan pengeluar bahan-bahan makanan ini mempunyai tempat berniaga dan mereka boleh menjual sendiri.

“Sebab itu kita lihat harga barangan di sini luar jangkaan. Semua barang yang dijual boleh dikatakan 20 ke 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran,” katanya.

Menurut Menteri Besar lagi, penganjuran pasar ini adalah suatu percubaan di peringkat Negeri Sembilan dan jika usaha ini berjaya ia akan diadakan di setiap daerah pula.

Pasar ini beroperasi dua kali sebulan bermula hari ini dari jam 8 pagi sehingga 12 tengahari.

Kaedah perlaksanaan pasar ini berasaskan kepada gabungan tiga konsep program yang sedia ada iaitu Mantai Perdana, Program Jualan Sentuhan Rakyat dan Pasar Tamu.

Penganjuran Pasar Waghih Kito diadakan dengan kerjasama peniaga, pembekal, pengusaha dan agensi kerajaan yang berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Pertanian, FAMA, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sembilan, Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia.