WISMA NEGERI, 28 FEB – Kerajaan Negeri Sembilan dalam Mesyuarat Exco hari ini meluluskan untuk penubuhan Majlis Bandaraya Seremban sekaligus melancarkan ‘Soft Launch’ bagi mengisytiharkan Seremban sebagai ‘bandar raya’ pada 12 April 2018.

449F96D9 FA1E 4421 91EF 24CBC0CA057A 1

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, hari ini.

Katanya, sambutan kemuncak Seremban diisytiharkan sebagai bandar raya akan diadakan secara besar-besaran pada awal tahun 2019 sempena meraikan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Justeru itu, ia mempunyai jangka masa tujuh ke lapan bulan sebagai masa percubaan sebelum upacara sambutan berkenaan.

Dalam pada itu, enakmen Majlis Bandaraya Seremban akan dibentangkan ke dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mendapatkan kelulusan.

Jelasnya, Negeri Sembilan agak berbeza berbanding dengan negeri-negeri yang lain kerana melakukan percantuman dua entiti iaitu Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dengan Majlis Perbandaran Nilai (MPN).

“Kita ada dua entiti yang dicantumkan menjadi dua satu entiti. Jadi macam-macam yang perlu diselesaikan terlebih dahulu terutamanya soal kakitangan, pegawai dan pentadbiran serta akan memulakannya dalam keadaan dalaman yang benar-benar telah bersedia,” ujarnya.

Menteri Besar memberi jaminan dengan pengisytiharan ini tidak akan ada semakan cukai atau perlesenan, sebaliknya mengenakan caj sedia ada.