NILAI - Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan mencemar duli merasmikan Kompleks Islam Tuanku Muhriz Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) di sini, hari ini.

Turut berangkat ke majlis itu, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud yang juga merupakan Tuanku Canselor Usim.

Berangkat sama, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; barisan Exco Kerajaan Negeri, Setiausha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mat Ali Hassan; Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad; Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan Naib Censelor Usim, Prof. Datuk Dr Musa Ahmad.

Kompleks Islam Tuanku Muhriz Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dibina di tapak startegik iaitu di antara Bangunan Censelori dan Perpustakaan.

Projek pembangunannya bermula pada 2 Jun 2014 dengan peruntukan pembinaan yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) sebanyak RM20 juta.

Berkeluasan 6,526 meter persegi, ia mempunyai ruang solat utama (aras 1) dan wanita (aras 2) yang boleh memuatkan kapasiti sehingga 4,000 jemaah pada satu-satu masa.

Antara kemudahan lain di aras 1 adalah pejabat pentadbiran, bilik mesyuarat, bilik imam, bilik VIP , bilik pengurusan jenazah dan kaunter zakat.

image 1

Penyerahan Kompleks Islam ini telah dibuat secara rasmi kepada universiti pada 22 Mei 2017 dan kemudiannya digunakan secara rasmi pada 26 Mei 2017 bersamaan malam 1 Ramadan 1438H yang telah membolehkan para jemaah menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih selain turut mengimarahkan dengan kuliah Zohor, majlis berbuka puasa dan tadarus sepanjang Ramadan.

Pengisytiharaan kebenaran Solat Jumaat yang dibuat Timbalan Mufti Negeri Sembilan secara rasminya, dan membolehkan solat Jumaat dilaksanakan pada 2 Jun 2017.

Seterusnya pada Jun 2017 Kompleks Islam telah menampilkan inovasi dalam penyampaian Khutbah Solat Jumaat apabila penyampaian teks khutbah dan khatib turut dibantu dengan terjemahan bahasa isyarat secara langsung oleh siswa Usim. Ia dilaksanakan sebagai inisiatiaf Usim bagi memastikan golongan cacat penglihatan memahami apa yang disampaikan.

Dalam majlis sama, Tuanku Muhriz turut berkenan melancarkan Buku 'Usim Merintis Kampus Barakah'.