KUALA PILAH, 04 SEPT – Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan menyampaikan kunci Rumah Mampu Milik (RMM) Jenis A kepada yang berjaya dalam undian seramai 129 orang di perkarangan Taman Senimas, Juasseh, Kuala Pilah.

MB RMM Pilah 1

Menteri Besar ketika bercakap di sidang media berkata, penyerahan kunci RMM pada hari ini menjadikan ia majlis pertama yang diadakan selepas Dasar Perumahan Kerajaan Negeri Sembilan dilaksanakan.

Menurutnya, RMM yang dibina pada harga RM80,000 ke bawah ini merupakan hasrat Kerajaan Negeri bagi membina rumah yang mampu dimiliki serta selesa untuk diduduki oleh rakyat.

“Rumah Mampu Milik ini adalah asas kepada terjemahan Dasar Perumahan Kerajaan Negeri Sembilan untuk kita mengadakan satu mekanisma kawalan harga kerana harga rumah yang terus melambung tinggi dan tidak lagi mampu dimiliki oleh rakyat,” ujarnya.

Tambahnya lagi, di Negeri Sembilan pihak pemaju swasta pada masa kini sedang membina hampir 2,500 unit rumah yang berharga di bawah RM80,000.

MB RMM Pilah 2

Dalam majlis sama, Menteri Besar turut menyampaikan bantuan kepada anak-anak Allahyarham Azizan Sahari dan isteri, Allahyarhamah Norbaiti Awang yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Seri Haji Mat Ali Hassan; Exco Perpaduan dan Integrasi Nasional merangkap ADUN Senaling, Dato’ Haji Ismail Lasim; ADUN Juasseh; Dato’ Haji Mohammad Razi Haji Kail dan Pegawai Daerah Kuala Pilah, Tuan Syahrul Nizam Saleh