Menurut Menteri Besar dalam sidang media di Wisma Negeri hari ini, SAINS telah pun mengambil langkah-langkah untuk mengatasinya dengan mengadakan pusat tekanan baharu iaitu memasang valve baharu yang mempunyai Self Regulated Valve. Injap automatik ini berperanan untuk memastikan tekanan air sentiasa konsisten.

Katanya, pada musim perayaan, penggunaan air berubah mengikut kawasan. Di bandar akan berlaku penurunan sebanyak 50 peratus kerana ramai yang pulang ke kampung, manakala di kampung pula berlaku pertambahan penggunaan sehingga 100 peratus. Penggunaan air yang mendadak pada masa yang sama terutamanya pada pagi raya menyebabkan tekanan air juga turun secara mendadak.

“Penggunaan Self Regulated Valve ini akan membantu menambahkan tekanan air sekiranya berlaku pengurangan tekanan air di sesuatu kawasan dan dijangkakan ia akan dapat memberikan tekanan yang baik di kawasan-kawasan yang tradisinya selalu mengalami masalah air pada hari perayaan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, bagi menghadapi pelbagai kemungkinan masalah air, SAINS menyediakan seramai 30 kakitangan yang akan bertugas pada hari raya pertama, kedua dan ketiga di setiap daerah untuk mengatasi masalah yang perlukan tindakan segera dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) membetulkan kerosakan dalam masa empat jam.

Antara lain, SAINS juga telah bersedia dengan kenderaan lori tangki untuk segera membekalkan air jika berlaku masalah air di setiap daerah.

“Saya berharap agar semasa hari raya dan musim-musim perayaan yang lain, kawasan-kawasan yang dahulunya selalu menghadapi masalah air kerana tekanan rendah dapat diuruskan dengan baik.

“Walaupun begitu, jika masih berlaku masalah berkenaan bekalan air, orang ramai boleh menghubungi talian hotline SAINS. Sila berhubung dengan mereka untuk tindakan segera daripada pasukan yang telah ditugaskan di setiap daerah,” jelasnya.

Mengulas mengenai paras air di seluruh empangan, katanya semua empangan di Negeri Sembilan menunjukkan paras yang amat baik, bahkan ada dua tiga empangan mencapai tahap melimpah.

Keadaan ini menunjukkan tindakan memastikan kesemua empangan di Negeri Sembilan dapat dipenuhkan ketika musim hujan pada tahun ini dan penghujung tahun lalu berjaya dilakukan.