REMBAU, 04 APRIL – Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan merasmikan Konvoi Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) 2018 Zon Negeri Sembilan di Dewan Biduanda, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Rembau, petang tadi.

 

FB IMG 1522853621141

Negeri Sembilan merupakan lokasi ketujuh yang dipilih JPB dengan kehadiran kira-kira 2,000 pelajar ke karnival ini bagi mencari peluang untuk melanjutkan pelajaran.

Dalam sidang media Menteri Besar berkata JPB yang diadakan setiap tahun sentiasa mendapat sambutan yang menggalakkan kerana banyak membantu pelajar-pelajar Bumiputera mendapatkan tempat bagi menyambung pelajaran.

Menteri Besar menyeru pelajar-pelajar yang keciciran serta kurang cemerlang dalam pelajaran agar tidak melepaskan peluang terhadap ruang yang telah disediakan oleh kerajaan.

“Ini adalah satu usaha yang dilakukan dan diilhamkan semata-mata untuk melihat keciciran pelajaran yang banyak di kalangan pelajar-pelajar Melayu serta Bumiputera di negara ini dapat dikurangkan.

“Program ini satu usaha yang baik dan kita tidak dapat melihat negara lain melaksanakannya, yang ada hanya di Malaysia” ujarnya.

Pada tahun ini JPB mensasarkan seramai 65,000 pelajar mendapat peluang melanjutkan pelajaran kesemua 37 institut kemahiran dan Universiti Awam yang terlibat dalam siri jelajah ini.

Pada karnival JPB 2016 dan 2017 telah berjaya membantu hampir 100,000 pelajar yang tercicir dalam sektor pelajaran.

JPB akan meneruskan jelajah ke lokasi seterusnya pada bulan April iaitu di Dewan SMK Munshi Abdullah, Melaka dan Dewan Orang Ramai Sarang Buaya Muar, Johor.

Turut hadir, Pengerusi Yayasan Almas, YAM Tengku Dato’ Seri Kamarulzaman Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Seri Dr Haji Awaludin Said dan Pengerusi Jawatankuasa Induk JPB 2018, Prof Emeritus Tan Sri Ir Sahol Hamid Abu Bakar.